Mahkamah Rayuan Sah Kontrak BBA Patuhi Syariah

PELANGGAN dan bakal pelanggan pembiayaan perumahan berlandaskan kontrak Bai Bithaman Ajil (BBA) di bank Islam kini tidak perlu lagi berasa sangsi dengan pematuhan produk berkenaan dari segi perundangan Islam kerana Mahkamah Rayuan telah memutuskan kontrak itu adalah sah dan mematuhi Syariah.

Perkara ini diputuskan sebulat suara oleh hakim Mahkamah Rayuan kelmarin dalam satu prosiding yang membabitkan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam).

"Dengan keputusan ini, ia mengesahkan amalan Bank Islam yang berkaitan dengan kontrak BBA adalah mematuhi Syariah dan sah," kata bank itu dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, Mahkamah Rayuan turut menegaskan bahawa kontrak BBA adalah urus niaga jualan, justeru, tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana urus niaga pinjaman.

Kontrak BBA, kaedah pembiayaan membabitkan tiga pihak iaitu pemaju, bank dan pembeli (pelanggan pembiayaan), yang diamalkan perbankan Islam di Malaysia, sebelum ini dipertikai beberapa pihak, terutama perban-kan Islam di Asia Barat.

Pihak terbabit mendakwa kaedah itu, terutama jika dilaksanakan bagi pembiayaan perumahan adalah tidak mengikut perundangan Islam kerana ia boleh disamakan dengan salinan kepada sistem riba dalam perbankan konvensional.

Di bawah prinsip BBA, seseorang yang mahu mendapatkan pembiayaan pembelian rumah perlu terlebih dulu menandatangani Per-janjian Jual-Beli (S&P) dengan pemaju serta membayar wang pendahuluan antara lima hingga 10 peratus daripada harga pembelian sebelum boleh mendapatkan pembiayaan bank.

Apabila diluluskan, bank akan membeli hak pelanggan menerusi S&P dan kemudian membayar keseluruhan harga rumah itu kepada pemaju sebelum menjualnya kembali kepada pelanggan pada harga tertangguh lebih tinggi daripada harga asal rumah itu.

Pihak yang mempertikaikan konsep berkenaan mendakwa perbezaan antara harga tertangguh dengan harga asal rumah itu boleh membawa kepada unsur riba.

0 comments:

Catat Ulasan