Kestabilan Politik Dapat Merangsang Minat Para Pelabur

INDEKS Komposit Kuala Lumpur (KLCI) melonjak melepasi paras 900 mata semalam, buat kali pertama dalam tempoh hampir tiga bulan susulan pembelian oleh pelabur tempatan serta asing yang bertambah yakin terhadap kestabilan politik negara susulan peralihan kuasa yang berjalan lancar.

Penanda aras utama pasaran saham tempatan itu meningkat 20.89 mata untuk ditutup pada 905.07 mata, iaitu paras penutup tertinggi sejak 15 Januari lalu.

Mengulas prestasi itu, Pengurus Kanan Pelaburan Institusi di Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Deti Affendi Kadir, berkata pasaran menyambut baik peralihan kuasa yang berlaku dengan lancar.

“Persekitaran politik sesebuah negara adalah antara elemen penting kepada pelaburan selain ekonomi dan asas kewangan syarikat.

“Peningkatan pasaran hari ini (semalam) menggambarkan keyakinan pelabur terhadap kedudukan politik negara yang lebih kukuh dan harapan mereka terhadap pelbagai pembaharuan yang bakal dibawa oleh Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Deti berkata, keyakinan itu turut dikongsi pelabur asing yang turut mengambil peluang membeli saham syarikat tempatan.

“Pembelian pelabur asing dan institusi tempatan umumnya bertumpu kepada kaunter mewah khususnya dalam sektor perbankan dan peladangan. Berlaku aliran masuk pelabur asing yang dapat dikesan dengan peningkatan nilai ringgit ke paras tertinggi dalam tempoh sebulan,” katanya. Ringgit ditutup kukuh pada RM3.6025 berbanding dolar Amerika Syarikat semalam, meningkat daripada RM3.6450 pada penutup kelmarin.

Pengarah Eksekutif Jupiter Securities Sdn Bhd, Nazarry Rosli, berkata pelabur juga menunggu pelaksanaan agresif langkah rangsangan ekonomi seperti yang sudah dirancangkan kerajaan.

“Pelabur menaruh harapan Najib akan mewujudkan barisan pentadbiran yang cekap untuk memastikan pelaksanaan segera projek di bawah pakej rangsangan.

“Susulan itu, kaunter sektor pembinaan kembali mendapat perhatian pelabur kerana ia dijangkakan mendapat manfaat langsung daripada pelaksanaan projek kerajaan,” katanya.

Nazarry, bagaimanapun berkata, dalam jangka panjang pasaran saham tempatan akan terus dipengaruhi faktor luaran dan menjejaki pergerakan pasaran saham global khususnya Wall Street.
- Sumber: Berita Harian (4 April 2009)

0 comments:

Catat Ulasan