Penjelasan Berkenaan Isu Kesilapan Keputusan Peperiksaan

Seperti yang dijanjikan, pihak PMFEP telah berusaha untuk meminta penjelasan pihak kedekanan FEP berhubung kesilapan dalam keputusan peperiksaan semester II sesi 2008-2009. Berikut adalah hasil maklumat yang kami perolehi:

Insiden ini disebabkan oleh kesilapan di pihak Pusat Teknologi Maklumat (PTM), UKM yang tidak mengambilkira markah bagi subjek Wajib Pusat (WP) menyebabkan jumlah unit dikira adalah berkurangan seterusnya meningkatkan keputusan sedia ada. Walau bagaimanapun, kesilapan ini telah disedari dan pihak PTM sedang cuba menyelesaikan perkara ini secepat mungkin. Pihak PMFEP diberitahu bahawa mulai Isnin (15 Jun 2009), semua pelajar FEP boleh menyemak keputusan peperiksaan yang sebenar melalui SMPWEB.

Diharapkan semua pelajar FEP berpuas hati dengan penjelasan ini. Walau bagaimanapun, kami di pihak para pelajar FEP berharap agar pihak PTM lebih berhati-hati dalam mengemaskini keputusan para pelajar agar perkara seumpama ini tidak berlaku di fakulti yang lain. Walaupun dilihat seperti perkara kecil sahaja, namun ia sangat memberi kesan terutama kepada semangat para pelajar dan kredibiliti kualiti PTM.

Sekian, terima kasih.

0 comments:

Catat Ulasan