GM Diisytiharkan Muflis




General Motors Corporation

Syarikat miliki hutang AS$172.81b lebih sekali ganda nilai aset

GENERAL Motors Corp (GM), syarikat automotif berusia lebih 100 tahun dan menjadi antara simbol kekuasaan ekonomi Amerika Syarikat (AS), diisytiharkan muflis semalam, sebagai antara usaha pentadbiran Presiden Barack Obama untuk mengecilkan saiz operasinya dan meletakkannya di bawah penguasaan kerajaan. Perlindungan muflis yang difailkan syarikat itu adalah yang keempat terbesar dalam sejarah AS dan
 terbesar dalam sejarah bagi sebuah syarikat perindustrian.

GM berkata, ia memiliki hutang berjumlah AS$172.81 bilion lebih sekali ganda asetnya yang bernilai AS$82.29 bilion. Syarikat ikon industri AS yang tumbang itu akan bergantung kepada bantuan kewangan tambahan sebanyak AS$30 bilion daripada Jabatan Perbendaharaan AS bagi penstrukturan semulanya. Bantuan itu adalah tambahan kepada AS$20 bilion yang disalurkan kerajaan AS kepada syarikat itu dalam bentuk pinjaman mudah dengan kadar faedah yang rendah.


GM juga tidak terlepas dari mimpi ngeri 'gulung tikar'

GM akan menjejak Chrysler LLC yang memfailkan perlindungan muflis April lalu, dan ia berharap bangun semula menerusi langkah yang ditaja kerajaan itu. Mengikut pelan itu, kerajaan persekutuan AS akan mengambilalih 60 peratus pegangan dalam GM baru. Kerajaan Kanada pula akan memegang 12.5 peratus, United Auto Workers (17.5 peratus) dan pemegang bon tidak bercagar (10 peratus). Pemegang saham GM sedia ada pula dijangka akan melupuskan pegangan masing-masing. Selain perlindungan muflis, GM juga dijangka mengumumkan cadangan penutupan 14 kilang, yang bakal menyaksikan sebuah dari-padanya ditukar kepada kilang pengeluaran kenderaan kecil.

Pengumuman muflis GM itu dibuat 32 hari selepas Chrysler, yang turut terjejas susulan jumlah jualan kenderaan dan trak yang menjunam ekoran krisis terburuk sejak Kegawatan Terburuk 1930. Syarikat automotif ketiga terbesar AS, Ford Motor Co, juga berdepan masalah penurunan ketara jualan, namun masih mampu mengelak muflis dengan menggadai semua asetnya pada 2006 untuk meminjam kira-kira AS$25 bilion. Langkah yang menjadi penyokong kepada kewangan Ford itu bagaimanapun tidak dimiliki GM dan Chrysler. GM baru yang dikecilkan saiznya akan terhad kepada pengeluaran jenama Chev-rolet, Cadillac, GMC dan Buick. Sementara itu, jenama lain yang dimilikinya sebelum ini seperti Pontiac, Saturn, Hummer dan Saab akan dijual atau ditutup operasinya. 

GM berkata, ia sedang membuat penelitian akhir bagi memuktamadkan urus niaga jualan Hummer dan cadangan berhubung Saturn dijangka diumumkan dalam beberapa minggu akan datang. – AP

Pandangan Admin: Industri berstatus gah seperti GM juga tidak dapat mengelak dari masalah ekonomi yang melanda dunia. Namun yang lebih menghairankan, syarikat sebesar GM gagal menyediakan perancangan hadapan menghadapi masalah yang tidak dijangka. Adakah kerana terlalu mengejarkan keuntungan semata-mata? Syarikat dari Malaysia harus mengambil iktibar dari peristiwa ini.

0 comments:

Catat Ulasan