Apa itu perancangan kewangan?

Perancangan kewangan ialah satu pelan yang menggariskan usaha yang melibatkan disiplin-disiplin tertentu untuk mengurus dengan baik sumber-sumber pendapatan, aset dan hutang supaya setiap perbelanjaan yang dibuat mendatangkan faedah yang optima. Malah jika boleh, dapat menyimpan tabungan dan pelaburan yang pastinya dapat menjamin pendapatan jangka panjang. Dengan terurusnya kewangan kita sebagai mahasiswa/i, sudah pasti kita dapat berbelanja hanya mengikut kemampuan, dan hanya akan membuat komitmen-komitmen kewangan yang mampu diselesaikan.

Beban dan komitmen kewangan seperti hutang, akan seiring dengan keupayaan membayar balik. Dan tidak akan menjadi satu masalah yang bakal menjadi punca masalah-masalah lain yang lebih berat pula di kemudian hari. Pendek kata, kewangan yang terurus dapat memberikan ketenangan dan keselesaan. Dengan itu, ia akan mendorong kita untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada urusan pelajaran dan apa jua aktiviti yang dijalankan.

BAGAIMANA RANCANG DENGAN BIJAK?


Merancang perbelanjaan adalah langkah pengurusan kewangan yang bijak, tidak kira sama ada sumber kewangan anda besar ataupun kecil. Di antara kesilapan yang sering dilakukan berkaitan duit ialah terlalu banyak berbelanja, lambat membayar yuran pengajian, dan tidak menyimpan wang untuk kegunaan masa depan. Untuk semester akan datang yang akan bermula bulan Julai nanti, anda boleh mengelak daripada melakukan kesilapan yang sama dengan mengawasi tabiat berbelanja anda.

1. Tentukan matlamat kewangan anda
Matlamat kewangan anda seharusnya menggambarkan perkara yang anda ingin kecapi dengan wang anda dalam jangka masa tertentu. Penetapan matlamat ini akan membantu anda memahami nilai sebenar wang dan menggalakkan anda untuk berbelanja dengan lebih bijak. Tetapkan jangka masa untuk merancang dan melaksanakan setiap matlamat anda, sama ada matlamat itu berjangka masa pendek, sederhana atau panjang.

2. Jejaki ke mana perginya wang anda
Selepas anda tentukan matlamat, mulakan dengan membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik agar matlamat anda mudah dicapai. Ingat bahawa matlamat anda buat masa terdekat ini bukanlah untuk mengurangkan perbelanjaan tetapi mengenalpasti tabiat berbelanja anda. Melalui pemerhatian ini, anda akan dapat ketahui:
- ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang
- berapa banyak hutang anda bertambah setiap bulan
- berapa baki wang anda yang masih tinggal pada hujung setiap semester

3. Nilai tabiat anda berbelanja

Jika wang anda tidak berbaki pada penghujung setiap semester, sudah tiba masanya anda menilai tabiat berbelanja anda. Teliti semula semua perbelanjaan anda dan tentukan sama ada apa yang telah anda beli ialah perkara yang anda benar-benar perlukan atau hanyalah memenuhi kemahuan anda. Perhatikan sama ada:
- anda menggunakan sumber kewangan untuk membayar yuran pengajian
- anda meminjam wang dari kawan-kawan untuk membuat lebih perbelanjaan
- perbelanjaan anda lebih besar daripada sumber kewangan
- anda membeli sesuatu tanpa memikirkan sama ada anda mampu atau tidak

4. Menulis perbelanjaan anda
Pelan perbelanjaan membantu anda merancang kewangan. Anda boleh mengesan ke mana duit anda dibelanjakan dan seterusnya mengelakkan kebanyakan perbelanjaan tersebut dan mula merancang simpanan anda. Mulakan pelan perbelanjaan anda dengan panduan mudah berikut:
- tentukan jumlah sumber kewangan anda setiap semester
- tambah jumlah perbelanjaan termasuklah yuran pengajian, bayaran balik pinjaman (sama ada PTPTN mahupun pinjaman dari rakan-rakan), yuran asrama, perbelanjaan harian dan lain-lain
- ketepikan sejumlah wang untuk kecemasan dan perbelanjaan bermusim (yuran tambahan, musim perayaan, cukai jalan, pembaharuan insurans dan lain-lain)

Sekiranya anda tidak mempunyai lebihan wang tunai untuk disimpan, anda mungkin perlu menyemak semula tabiat berbelanja anda dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan.

0 comments:

Catat Ulasan