Perutusan Presiden Bil. I/Mac 2009

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum w.b.t. Salam sejahtera dan salam perpaduan.

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta para sahabat Baginda. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh mahasiswa/i Fakulti Ekonomi & Perniagaan (FEP) yang telah memberi sepenuh kepercayaan dan mandat kepada saya untuk menerajui saff kepimpinan persatuan induk fakulti, Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi & Perniagaan (PMFEP) bagi sesi 2009/2010.

Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang telah terpilih atau akan dipilih untuk membarisi saff kepimpinan PMFEP serta kelab-kelab di bawah naungan PMFEP. Sesungguhnya, jawatan yang dipegang bukanlah suatu kebanggaan, sebaliknya merupakan amanat dan tanggungjawab yang besar yang perlu dipikul oleh sahabat-sahabat sekalian demi memastikan matlamat utama penubuhan persatuan tercapai. Saya menyeru agar sahabat-sahabat sekalian dapat memberikan komitmen yang padu sepanjang bergelar pemimpin pelajar. Sebagaimana sesi-sesi yang lepas, kebajikan dan kepentingan mahasiswa/i FEP akan terus diperjuangkan selaras dengan objektif persatuan sekaligus membantu melahirkan mahasiswa/i FEP yang berketrampilan, berkeyakinan dan berdaya saing.

Pelbagai program menarik akan dilaksanakan dengan bermatlamatkan untuk member
i pendedahan dan kesedaran yang sewajarnya kepada mahasiswa/i FEP tentang peri pentingnya penglibatan mahasiswa/i di dalam aktiviti berpersatuan. Kajian yang terperinci juga akan dijalankan bagi memastikan segala program yang dijalankan adalah bermanafaat kepada semua pihak terutamanya mahasiswa/i FEP termasuklah melalui pembaharuan format dan penjenamaan semula setiap program tahunan PMFEP.

Peranan dan penglibatan mahasiswa/i FEP juga amatlah diharapkan dalam memastikan sesebuah program bukan sahaja berjaya dijalankan, malah turut meninggalkan impak positif dalam diri mahasiswa/i itu sendiri.Oleh yang demikian, saya turut mengambil kesempatan ini untuk menyeru mahasiswa/i FEP untuk terlibat aktif dalam aktiviti berpersatuan dan bukan sahaja mengutamakan kecemerlangan akademik semata-mata. Seorang mahasiswa/i yang cemerlang bukanlah hanya diukur berdasarkan pencapaian akademiknya sahaja, malah turut dinilai dari
pelbagai aspek termasuklah daya kepimpinan, soft skills, nilai tambah, kemahiran berkomunikasi dan banyak lagi. Inilah rahsia kejayaan kebolehpasaran mahasiswa/i apabila graduasi kelak.

Sekiranya sahabat-sahabat sekalian mempunyai sebarang masalah, aduan, pertanyaan, cadangan, pendapat, informasi dan sebagainya, janganlah segan untuk mengemukakannya kepada kami di Pejabat Urusan PMFEP, Aras 4, FEP. Selaras dengan kemajuan dunia teknologi, kini mahasiswa/i FEP juga boleh terus mengutarakan sebarang masalah atau pendapat ke emel rasmi PMFEP sesi 2009/2010 iaitu pmfep0910@yahoo.com.my. InsyaAllah, kami akan membantu sahabat-sahabat menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Akhir kalam, marilah kita bersama-sama memacu kegemilangan PMFEP dengan memberikan komitmen dan kerjasama yang padu dalam usaha menjadikan FEP bukan sahaja menjadi fakulti terbaik dalam pencapaian akademik para pelajarnya, malah turut disegani dari segi daya kepimpinan pelajarnya yang kental rohani,
emosi, sahsiah, akhlak dan intelek. Ikhlaskanlah hati anda dalam melaksanakan sesuatu perkara kerana Allah agar segala perkara baik yang dilakukan diiktiraf sebagai Ibadah.

Sekian, terima kasih. Wassalam

JAFFAR TUKIRAN
Presiden PMFEP sesi 2009/2010
jeff157_slumbermania@yahoo.com.my

0 comments:

Catat Ulasan