Assalamualaikum w.b.t dan salam 1 Malaysia.
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah, Tuhan sekalian Alam, kerana dengan limpah dan rahmatNya, hari ini kita masih diberi kesempatan untuk melihat keindahan alam ciptaanNya. Bersyukur juga kepadaNya kerana limpahan kasih dan sayangNya, kita berada dalam keadaan aman dan harmoni tatkala insan-insan yang lain sedang hebat diuji olehNya. Semoga, dengan segala nikmat yang dilimpahkanNya, tidak melalaikan kita untuk tunduk dan sujud kepadaNya sebagai tanda kesyukuran. InsyaAllah.
Pejam celik, pejam celik, akhirnya kita semua berada di bulan yang paling mencabar bagi para pelajar di UKM khususnya iaitu musim peperiksaan akhir semester. Saya sendiri seperti tidak menyedari bahawa kita semua telahpun berada di akhir semester I sesi 2009/2010. Bagi adik-adik tahun satu pastinya, saat ini di tunggu-tunggu kerana inilah peperiksaan sulung mereka berada di UKM. Saya mewakili seluruh saff kepimpinan PMFEP sesi 2009/2010 mengucapkan SEMOGA BERJAYA kepada seluruh pelajar FEP khususnya dan pelajar UKM amnya dalam menempuhi peperiksaan akhir semester ini. Ingatlah, insyaAllah, dengan D.U.I.T (Doa. Usaha. Ikhtiar. Tawakkal.) kita semua akan berjaya mencapai apa yang kita harapkan.
Mohonlah restu ibubapa agar kita dipermudahkan dalam menempuhi cabaran peperiksaan kali ini. Mohon jugalah keampunan dari para pensyarah agar ilmu yang dipelajari dipenuhi dengan barakah. Saya juga menyeru agar sahabat-sahabat dan adik-adik sekalian agar menjaga kesihatan supaya kita dapat menduduki peperiksaan dengan tenang dan selesa. Jagalah makan dan minum agar anggota badan yang lain juga dapat berfungsi seperti kebiasaanya. Selain makanan bagi fizikal, makanan bagi rohani jangan pula ditinggalkan. Banyakkanlah beramal dan jauhi segala laranganNya.
Dikesempatan ini, saya mewakili saff kepimpinan PMFEP sesi 2009/2010 memohon ampun dan maaf andai ada salah dan silap serta keburukan dan kekurangan sepanjang kami menjadi pemimpin pelajar di FEP.
Selain itu, saya juga mengambil peluang ini untuk mempromosi program yang akan dijalankan oleh PMFEP selepas minggu peperiksaan dan pada semester II sesi 2009/2010. Kami amat mengharapkan agar sahabat-sahabat dan adik-adik semua dapat menyokong dan menyertai segala program yang dijalankan oleh pihak PMFEP bagi memastikan objektif dan matlamat program akan tercapai iaitu " menjulang martabat mahasiswa ". Antara program yang akan dijalankan adalah seperti berikut:
1. Bakti Siswa - Pembangunan Ekonomi Setempat (BAKSIS-PES) di Kampung Sg. Sireh, Sabak Bernam, Selangor pada 16 - 18 November 2009
2. Karnival Fakulti Ekonomi & Perniagaan IV (KARNIFEP IV) sempena ulangtahun FEP ke-5 pada bulan Januari 2010.
3. National Entrepreneurship Students Conference (NESC) pada bulan Februari 2010.
4. Malam Ikatan Suci Titian Kasih (MISTIKA) 2010, majlis makan malam fakulti di Dewan Seri Hendon, Putrajaya pada bulan Mac 2010.
Pelbagai program menarik telah disusun oleh pihak PMFEP untuk disertai oleh anda semua sama ada sebagai peserta program mahupun pelaksana bagi memastikan segala program dapat berjalan dengan lancar. InsyaAllah.
Akhir kata, semoga dengan kehidupan kita di universiti ini dapat mendidik kita menjadi insan yang berguna dan berjasa kepada agama, bangsa dan negara selain melengkapkan kita dengan segala keperluan sebelum menempuhi alam pekerjaan yang pasti penuh dengan cabaran.
Sekian, terima kasih.
Salam sayang;
Jaffar bin Tukiran
Presiden PMFEP 2009/2010
0 comments:
Catat Ulasan