Taklimat Kerjaya Dari Uniqlo

Sukacita dimaklumkan bahawa syarikat pakaian terkenal dari Jepun, Uniqlo
akan mengadakan taklimat kerjaya sepertimana berikut :

Tarikh: 2 Mei 2012 (Rabu)
Masa: 10.30 pagi (pendaftaran)
Tempat: Auditorium Siswa, Pusanika

Pelajar yang berminat sila kemukakan resume anda ke resumephi@yahoo.com
sebelum 1 Mei 2012. Sila letakkan "UNIQLO" sebagai tajuk email anda.

Sila hubungi Pejabat Hubungan Industri, En.Haiqal 03-89214656 / Pn.Wahidah
03-89214604 atau klik poster untuk maklumat lebih lanjut.

P/s: Tolong hebahkan pada rakan-rakan yang lain untuk hadir ke sesi taklimat
ini.Sila abaikan email ini sekiranya anda telah mendaftar.




Pendaftaran Awal Kursus Semester 2 Sesi 2010/2011

Semua pelajar diminta untuk membuat PENDAFTARAN AWAL KURSUS SEMESTER 2 SESI 2010-2011 pada 11-24 Oktober 2010. Sebelum itu, pastikan anda telah membuat PENILAIAN PENGAJARAN KURSUS SEMESTER 1 SESI 2010-2011 (4-24 Oktober 2010). Kedua-duanya boleh dilakukan di SMPWEB. Ianya wajib kepada semua pelajar. Kelewatan akan menganggu proses bayaran PTPTN. Semakan daftar kursus boleh dibuat pada 15 No vember 2010.

Jom Pi Jamuan Raya Fakulti



Jamuan Hari Raya peringkat fakulti
Rabu, 29 September 2010
11 pagi
Dataran Fakulti


Selamat Hari Raya :)



Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada kami di PMFEP :)

Pemergianmu ditangisi, kedatanganmu disyukuri

Logo ‘Halal' & ‘Islam' : Haruskan Guna Tanpa Selidik?

Salah satu persoalan yang kerap bermain di pemikiran umat Islam adalah apabila mereka ingin menggunakan produk-produk yang bertanda ‘halal' atau ‘Islam'. Ada di antara mereka yang tertanya-tanya sama ada menjadi kewajipan bagi mereka untuk membuat kajian sendiri sebelum menggunakannya atau mencukupi dengan ‘bersangka baik' serta mempercayai tanda-tanda tersebut.

Hal ini berlaku dalam pelbagai bidang, samada dalam bidang pemakanan, barang kegunaan harian mahupun dalam bidang kewangan. Bagi bidang pemakanan dan penggunaan, kita dapat melihat dengan jelas peranan logo ‘halal' dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang begitu penting untuk dipastikan sebelum membeli sesuatu produk.



Manakala, bagi urusan kewangan, peranan Jabatan Perbankan Islam dan Takaful (JPIT) di bawah Bank Negara Malaysia, Jabatan Pasaran Modal Islam di bawah Suruhanjaya Sekuriti serta Majlis Penasihat Shariah di pelbagai peringkat juga amat penting bagi memastikan logo ‘Islam' pada nama Bank dan produk kewangan adalah juga tulen sebagaimana logo JAKIM yang terdapat pada makanan.

Cabaran dalam memastikan kesemua logo ini tulen serta mempamerkan keislaman yang tulen sememangnya bukanlah satu kerja yang mudah. Terutama di dalam bab kewangan yang agak kompleks hingga menyebabkan kemungkinan terdapat perbezaaan pentafsiran memahami sesuatu konsep yang digunakan.

Menurut pandangan Islam, bagi individu yang tidak mempunyai kemampuan sama ada ilmu, masa, sumber tepat dan berautoriti untuk membuat kajian mendalam, maka hukum ke atas mereka adalah harus untuk menggunakan dan bersangka baik dengan ‘branding' 'Perbankan Islam' atau 'Bank Islam' atau "diluluskan Majlis Penasihat Shariah' dan apa jua terma yang jelas menunjukkan mereka di tadbir urus secara Islam. Allah SWT berfirman : "Tidak dipertanggung jawabkan seseorang dengan apa yang diluar kemampuannya" (Al-Baqarah : 233). Maka dalam hal ini, kewajiban seseorang adalah terhenti kepada usahanya untuk mencari sesuatu produk yang bertanda ‘halal' atau ‘Perbankan Islam' sahaja. Tugasan wajib seterusnya dipikul oleh ilmuan khas Shariah, pengurusan institusi itu sendiri dan pihak berkuasa untuk memastikan yang ‘halal' dan ‘Islam' itu bukan sekadar jenama kosong tanpa isi.

Adapun bagi sesiapa yang ingin dan mempunyai kredibiliti serta sumber berautoriti untuk membuat pengkajian dengan lebih mendalam, ia boleh dianggap satu ‘bonus' untuk diri mereka. Dalam situasi dimana mereka mendapati sesuatu kelemahan (kemungkinan melalui pengalaman mereka ketika berurusan dengan institusi kewangan Islam ini), mereka perlulah mendekati pihak yang bertanggung jawab terlebih dahulu sebelum memukul canang di luar sehingga boleh menguris kepercayaan awam kepada institusi kewangan Islam secara umum dan juga produk-produk berlogo ‘halal' itu.

Ia merupakan suatu akhlak Islam dalam memastikan bahawa informasi yang diperolehi disalurkan kepada saluran yang betul. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 83 ertinya : " dan apabila datang kepada kamu berita baik atau keburukan, mereka (orang munafiq) kerap suka menyebarkannya terlebih dahulu, (lebih baik) sekiranya mereka merujuk kepada perkara itu kepada Rasul dan pemerintah (orang berwajib) nescaya mereka tahu bagaimana untuk bertindak...".

Selain itu, tindakan memukul rata semua perbankan Islam lemah apabila menjumpai satu kesilapan adalah kurang tepat kerana :-

· a) Kesilapan itu adalah kesilapan individu pegawai yang bertugas itu sahaja.

Jika demikian, kesilapan ini tidak harus dipertangungjawabkan kepada Majlis Penasihat Shariah sesebuah bank itu. Apatah lagi untuk meletakkan kesilapan itu kepada seluruh operasi bank-bank Islam di Malaysia dan dunia. Hal ini pernah dan sememangnya boleh berlaku. Menurut pengetahuan saya, terdapat seorang individu yang menjumpai beberapa kelemahan ketika ingin menggunakan produk pembiayaan perumahan, maka dihebohkan di satu negara dan kepada seluruh rakan-rakannya dengan dakwaan bahawa perbankan Islam di Malaysia sebagai ‘tidak berguna'. Padahal ia adalah kesilapan peribadi si pegawai yang bertugas hari itu. Wajarkah tindakan ini?.

b) Kesilapan itu adalah kesilapan pengurusan institusi kewangan itu sahaja. Ertinya, Majlis Penasihat Shariahnya telah memberikan nasihat yang benar dan betul tentang tatacara, syarat dan rukun. Akan tetapi akibat dari kelalaian atau didorong oleh perasaan ingin memudahkan proses teknikal, pihak pengurusan telah mengubah keputusan Majlis Shariahnya kepada keputusan yang diubahsuai. Keadaan ini boleh berlaku jika Jentera Pemantauan Shariah di dalam operasi sesebuah institusi kewangan itu tidak kukuh dan berdiri sendiri (independence).

c) Kesilapan itu adalah kesilapan pihak pengurusan dalam memberi gambaran proses kepada Majlis Penasihat Shariah.

Hal ini juga mudah boleh berlaku terutama apabila pihak pengurusan tidak mampu menjangkakan tahap kefahaman ahli Majlis Penasihat Shariah mereka. Hasilnmya, mereka membentang dengan sangat ringkas, dan kelihatan mudah dan boleh diterima oleh Shariah. Akibatnya, walaupun ia diluluskan oleh Majlis Shariah tetapi tidak lebih hanya konsep sahaja dan bukannya cara aplikasi produk itu.

d) Kesilapan Majlis Penasihat dalam memahami penerangan pengurusan.

Ini juga mungkin berlaku, tetapi jika ia berlaku, pihak individu tadi masih tidak boleh membuat tuduhan ‘tidak Islamik' nya secara purata Institusi Kewangan Islam. Ini kerana kesilapan yang sama kemungkinan besar tidak berlaku di Institusi kewangan Islam yang lain.

Justeru, kesalahan satu-satu institusi tidak boleh dihukumkan ke atas seluruhnya. Tidak dinafikan sememangnya kemungkinan kesilapan berlaku akibat kelemahan manusia yang mengurus, justeru ia perlulah dibawa kepada peringkat perbincangan dan laporan dengan lebih sistematik.

Jika dilihat dari aspek yang lain pula, terdapat kemungkinan besar juga bahawa penemuan 'findings' mereka adalah silap, terutamanya jika individu tadi tidak memahami sebaiknya undang-undang Shariah, Malaysia dan instrumen kewangan moden. Kerana itu, adalah dibimbangi bahawa 'heboh' tanpa fakta sohih boleh menyebabkan orang awam keliru dan kembali ke institusi konvensional yang pastinya HARAM.

Secara tidak langsung, termasuklah orang seperti ini dalam hadith sohih "
barangsiapa yang mengajak kepada keburukan dan orang mengerjakannya, lalu ia akan menanggung dosa di pelaku tadi tanpa kurang.." Ini kerana, kerana sikap gopohnya, ia menjauhkan awam dari kebaikan akhirat kepada keburukan dunia akhirat.

oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

KELEBIHAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Muhammad Syakir Syahid Bin Mohd Razalli

Exco Pembangunan Modal Insan