Tahniah dan Selamat Datang

Tiada Cadangan Kuat Kuasa Daftar Blogger

MENTERI Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kerajaan tidak bercadang menguatkuasakan peraturan pendaftaran dan penyenaraian blogger, sebaliknya mereka diberi kebebasan menyampaikan maklumat di laman blog masing-masing.

Bagaimanapun, blogger tertakluk kepada perundangan sedia ada supaya sebarang paparan tidak menyalahi peraturan ditetapkan.

"Walau apapun yang dikenakan pihak berkuasa, laman web bebas untuk mencatat, menyampaikan atau memaklumkan sesuatu.

"Setakat ini kita tidak menyenaraikan atau mendaftarkan blogger. Namun, apa yang dijamin perundangan dan demi keharmonian bersama, undang-undang kita perlu hormati," katanya menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang meminta penjelasan kemungkinan kerajaan akan mendaftar blogger.

Menjawab soalan asal Datuk Ismail Abd Muttalib (BN-Maran), Rais berkata, mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, tindakan boleh diambil terhadap individu yang memberi kandungan bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, bagi penyalahgunaan laman web, enam kes membabitkan lapan tertuduh dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan menghina Sultan Perak dan seorang daripadanya mengaku bersalah dan disaman RM10,000.

"Media cetak dan elektronik tertakluk kepada pelbagai undang-undang untuk memastikan kandungan tidak bercorak fitnah atau hasutan bertujuan memporak peranda masyarakat pelbagai kaum, agama dan keturunan.

"Sebagai pemegang lesen mengikut AKM, kandungan disiarkan penyiar swasta dikawalselia dengan rapi kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Pandangan Admin: Jangan sampai terlebih dari batasan bila ber'blogging'...takut nanti ada yang terasa hati,ada pula yang kena saman (macam kes seorang pensyarah FPI,UKM memfail saman RM1 juta kat pegawai ILIM kerana menyebarkan fitnah dalam blognya. Klik di sini utk berita lanjut), ada yang menangis...kalau nak kongsi ilmu atau maklumat, itu Admin sokong...ehe :-)

Semoga Berjaya!

Kerja-kerja Semburan Kabus (Fogging)


Dimaklumkan bahawa Fakulti Ekonomi & Perniagaan akan terlibat dengan kerja-kerja semburan kabus (fogging) bagi pencegahan denggi dan chikungunya pada 1 Julai 2009 (Rabu).

Sekian, harap maklum.

Pencalonan Anugerah Persatuan/Projek/ Mahasiswa Terbilang 2008

Sukacita dimaklumkan bahawa pencalonan bagi anugerah persatuan/projek/mahasiswa terbilang bagi tahun 2008 telah dibuka.

Antara anugerah yang dipertandingkan:
1. Anugerah Persatuan/Kelab Mahasiswa Cemerlang
2. Anugerah Urusetia HEPA Cemerlang
3. Anugerah Projek Mahasiswa Cemerlang
4. Anugerah Bakti Terbilang (Prasiswazah)
5. Anugerah Bakti Terbilang (Siswazah)

Borang boleh diambil di Pusat Perkembangan Pelajar UKM.
Tarikh tutup pencalonan adalah 10 Julai 2009.
Sebarang pertanyaan sila hubungi 03-8921 5152 atau sambungan 5097 atau
emel ke ayu77@ukm.my

PENDAFTARAN KURSUS SEMESTER 1 SESI AKADEMIK 2009-2010

Pendaftaran Kursus Semester 1 Sesi Akademik 2009-2010 akan dijalankan secara
web melalui laman web http:www.ukm.my/smpweb.

Tarikh-tarikh penting:
6 - 19 Julai 2009 : Gugur/tambah
20 Julai - 2 Ogos 2009 : Gugur kursus
3 - 9 Ogos 2009 : Pengesahan kursus
3 - 30 Ogos 2009 : Tarik diri

Maklumat lanjut, klik di sini.

Perkhidmatan Letak dan Naik (Park & Ride)

PERKHIDMATAN LETAK DAN NAIK:
Dimaklumkan bahawa pihak Universiti akan melaksanakan perkhidmatan Letak dan Naik di lingkungan pertama kampus Bangi mulai pada 1 Julai 2009. Perkhidmatan ini bertujuan memberi kemudahan kepada kakitangan, pelajar dan pelawat untuk masuk dan berurusan di lingkungan pertama kampus Bangi.

TEMPAT LETAK KENDERAAN:
Kakitangan, pelajar dan pelawat yang menggunakan perkhidmatan Letak dan Naik boleh meletak kenderaan mereka di kawasan tempat letak kereta umum seperti DECTAR, Panggung Seni dan Masjid dan kawasan letak kereta berhampiran Wisma Aman.

LALUAN BAS:
Laluan bas perkhidmatan Letak dan Naik bermula dari stesen Letak dan Naik di kawasan berhampiran Wisma Aman melalui Pintu Masuk Pavillion, Stadium Universiti, Kolej Rahim Kajai, Kolej Dato’ Onn, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, PUSANIKA, Perpustakaan Tun Seri Lanang, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Kolej Ungku Omar, Pusat Kesihatan, Kolej Burhanuddin Helmi, Masjid, Fakulti Pengajian Islam dan keluar melalui Pintu Utama untuk kembali ke stesen Letak dan Naik. Sila klik untuk melihat laluan bas. Bas akan berhenti untuk mengambil dan menurunkan penumpang di tempat perhentian yang ditetapkan. Sila klik untuk melihat tempat hentian bas.

MASA PERKHIDMATAN:
Perkhidmatan bas yang disediakan adalah secara berjadual iaitu pada hari bekerja (Isnin hingga Jumaat) mulai jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam dengan kekerapan 7 minit pada waktu sibuk dan 20 minit pada waktu biasa. Waktu sibuk adalah pada 7.00 pagi hingga 8.30 pagi dan 4.30 petang hingga 6.00 petang. Sila klik untuk melihat jadual perjalanan bas.

PERCUBAAN PERKHIDMATAN LETAK DAN NAIK:
Percubaan perhidmatan Letak dan Naik akan diadakan pada 25, 26, 29 & 30 Jun 2009. Semua warga UKM dijemput untuk mengguna dan membiasakan perkhidmatan Letak dan Naik pada tarikh tersebut.


Pelancaran Blog Bakti Siswa PMFEP

Semua dijemput untuk melayari Blog Rasmi
Bakti Siswa - PMFEP
untuk info terkini program
Bakti Siswa-Pembangunan Ekonomi Setempat (BAKSIS-PES)

Penjelasan Berkenaan Isu Kesilapan Keputusan Peperiksaan

Seperti yang dijanjikan, pihak PMFEP telah berusaha untuk meminta penjelasan pihak kedekanan FEP berhubung kesilapan dalam keputusan peperiksaan semester II sesi 2008-2009. Berikut adalah hasil maklumat yang kami perolehi:

Insiden ini disebabkan oleh kesilapan di pihak Pusat Teknologi Maklumat (PTM), UKM yang tidak mengambilkira markah bagi subjek Wajib Pusat (WP) menyebabkan jumlah unit dikira adalah berkurangan seterusnya meningkatkan keputusan sedia ada. Walau bagaimanapun, kesilapan ini telah disedari dan pihak PTM sedang cuba menyelesaikan perkara ini secepat mungkin. Pihak PMFEP diberitahu bahawa mulai Isnin (15 Jun 2009), semua pelajar FEP boleh menyemak keputusan peperiksaan yang sebenar melalui SMPWEB.

Diharapkan semua pelajar FEP berpuas hati dengan penjelasan ini. Walau bagaimanapun, kami di pihak para pelajar FEP berharap agar pihak PTM lebih berhati-hati dalam mengemaskini keputusan para pelajar agar perkara seumpama ini tidak berlaku di fakulti yang lain. Walaupun dilihat seperti perkara kecil sahaja, namun ia sangat memberi kesan terutama kepada semangat para pelajar dan kredibiliti kualiti PTM.

Sekian, terima kasih.

Kesilapan Keputusan

Perhatian kepada semua pelajar FEP,
anda dinasihatkan
memeriksa semula keputusan
peperiksaan semester II sesi 2008-2009
di SMPWEB bermula lewat petang Khamis (11 Jun 2009).

Ini disebabkan berlaku beberapa kesilapan teknikal
dan keputusan sebenar telahpun disiarkan di sistem pelajar.

Diharapkan semua pelajar bersabar atas dugaan ini
dan kami di pihak PMFEP akan berusaha
mendapatkan penjelasan dari pihak Kedekanan FEP
mahupun dari Bahagian Akademik
berhubung kesilapan ini.

Sekian, harap maklum.

Tahniah - Keputusan Peperiksaan Semester II 2008-2009

Seluruh Saff Kepimpinan PMFEP sesi 2009-2010
mengucapkan
TAHNIAH
kepada semua mahasiswa/i FEP
yang telah berjaya memperolehi keputusan cemerlang
dalam Peperiksaan Semester II sesi 2008-2009.
Teruskan kecemerlangan anda.

Bagi yang kurang berjaya,
teruskan berusaha, berusaha dan berusaha
demi mengejar matlamat anda di UKM.

Selamat Maju Jaya.

Tahniah - Naib Canselor UKM

Naib Canselor semasa Syarahan Perdana Beliau

Seluruh Saff Kepimpinan PMFEP sesi 2009-2010 serta warga FEP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Naib Canselor UKM kerana telah dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM) yang juga membawa gelaran Tan Sri sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah di Istana Negara, 6 Jun 2009 (Sabtu). Syabas !

7 Langkah Untuk Mencapai Matlamat & kejayaan

Coretan Exco Anda
NUR SAHILA SAPI'E
Exco Pembangunan Modal Insan,
Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi & Perniagaan,
Sesi 2009-2010

1. Wujudkan Keinginan Anda Sebesar Mungkin

ü Keinginan tersebut mestilah yang benar-benar anda idamkan.

ü Duduk dan tulis semua keinginan anda.

ü Nyatakan faedah-faedah dan kebaikan-kebaikan mencapai segala keinginan anda itu.

ü Fikir dan tulislah sepuas-puasnya. Apabila senarai anda menjangkau 50 hingga 100, suatu bentuk perasaan atau semangat pada diri anda akan timbul.

ü Teruskan. Anda akan mula menjadi lebih bersemangat. Jika anda terus menulis dan menghayati segala matlamat anda itu, semangat anda akan bertambah menyala, berapi-api!

2. Tuliskan Matlamat-Matlamat Anda

ü TULIS matlamat-matlamat anda di atas sehelai kertas. Jika anda tidak tulis, ia hanya akan menjadi angan-angan sahaja.

ü Salinkannya ke dalam Buku Matlamat anda. Ini PENTING, kerana dengan berbuat demikian, ia akan menjadi perkara yang penting bagi anda. Dengan berbuat demikian juga, ia akan mula meresap ke dalam minda separa sedar anda.

3. Tetapkan Bila dan Tempoh Pencapaian Matlamat Anda

ü TETAPKAN bila matlamat tersebut mesti anda capai.

ü Kaji tahap atau kedudukan anda sekarang berbanding dengan apa yang anda inginkan.

ü Kira dan tentukan berapa banyak masa yang anda perlukan untuk mencapai matlamat anda itu.

4. Tangani Halangan

ü Kenalpastikan halangan-halangan yang perlu anda atasi.

ü Tumpukan kepada usaha mendapat bantuan; bantuan yang anda akan perlukan untuk mencapai matlamat anda - misalnya pengetahuan, pakar-pakar, penasihat-penasihat atau badan-badan tertentu.

5. Buat Perancangan

ü RANCANGKAN tindakan-tindakan anda. Senaraikan semua aktiviti mengikut susunan keutamaannya.

ü Perbaiki senarai anda; optimumkannya, sempurnakannya. Ingatlah pesan Peter Drucker, seorang guru pengurusan yang pernah berkata: Cara terbaik meramal masa hadapan ialah dengan meWUJUDkannya. (The best way to predict the future is to create it).

6. Gambarkan Kejayaan Pada Minda Anda

v Letakkan suatu Studio Filem di minda anda! Bayangkan satu GAMBARAN MENTAL yang anda telah berjaya mencapainya.

v Buat imej minda yang jelas dan terang pada mata minda anda. Mainkan gambaran itu berulang-ulang – berkali-kali di fikiran anda.

v Ingatlah bahawa: "Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang." - Cecil B. DeMille. Ingatlah juga kata Mahatma Gandhi: Seseorang itu adalah hasil dari fikirannya. Apa yang dia fikir, itulah yang dia akan menjadi".

7. Baki 90% Adalah Usaha dan Keazaman Anda

v Sokong rancangan anda dengan KEAZAMAN (Resolve) dan SEMANGAT TIDAK MENGENAL PUTUS ASA (Persistence).

v Tekadkan semangat. Tumpukan kepada kejayaan. Bulatkan hati dan fikiran.Jangan sekali-kali berputus asa terhadap sebarang cabaran.

v Lakukanlah tindakan-tindakan proaktif dan produktif. Fokuskan segala perhatian dan tenaga anda untuk mencapai segala matlamat anda pada waktu yang anda sendiri tetapkan.

InsyaAllah, dengan diiringi DOA, KEAZAMAN, DISIPLIN yang tinggi serta usaha gigih, anda akan mencapai apa juga matlamat yang anda ingini dan impikan.


Tahniah - Hari Kualiti UKM ke 17


Sekalung tahniah kepada Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar, Akademik & Antarabangsa) FEP, Prof. Madya Dr. Romlah Jaffar dan seluruh staff akademik dan sokongan FEP yang telah menerima anugerah sempena Majlis Anugerah Kualiti UKM ke 17 pada 5 Jun 2009 (Jumaat) yang lepas. Semoga lebih berjaya di masa hadapan.

Ikhlas daripada:
Saff Kepimpinan PMFEP 2009-2010 &
Seluruh warga FEP

Keputusan Peperiksaan Semester II Sesi 2008-2009

Sukacita dimaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Semester II Sesi Akademik 2008-2009 boleh disemak menerusi web di alamat http://www.ukm.my/smpweb dan menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip maklumat berikut:

UKM jarak result jarak nomatrik jarak no ic dan hantar ke 39993

Semakan boleh dibuat mulai 11 Jun 2009 Manakala slip keputusan peperiksaan rasmi akan dihantar ke alamat tetap pelajar mulai 15 Jun 2009.

Pengedaran Kad Masuk Peperiksaan Dan Jadual Waktu Peperiksaan (KMJP) Semester III Sesi Akademik 2008-2009

Peperiksaan akhir semester III sesi 2008-2009 akan berlangsung pada 22 hingga 26 Jun 2009. Kad Masuk Peperiksaan dan Jadual Peperiksaan (KMJP) boleh diambil di Pejabat Dekan Fakulti mulai 9 Jun 2009. Sekiranya KMJP anda tiada di Pejabat Dekan Fakulti, sila datang ke Kaunter Bahagian Pengurusan Akademik untuk mendapatkannya. Saudara/i diingatkan bahawa kad KMJP hendaklah dibawa bersama semasa menduduki peperiksaan. Pelajar yang gagal menunjukkan kad KMJP tidak dibenarkan menduduki peperiksaan.

GM Diisytiharkan Muflis




General Motors Corporation

Syarikat miliki hutang AS$172.81b lebih sekali ganda nilai aset

GENERAL Motors Corp (GM), syarikat automotif berusia lebih 100 tahun dan menjadi antara simbol kekuasaan ekonomi Amerika Syarikat (AS), diisytiharkan muflis semalam, sebagai antara usaha pentadbiran Presiden Barack Obama untuk mengecilkan saiz operasinya dan meletakkannya di bawah penguasaan kerajaan. Perlindungan muflis yang difailkan syarikat itu adalah yang keempat terbesar dalam sejarah AS dan
 terbesar dalam sejarah bagi sebuah syarikat perindustrian.

GM berkata, ia memiliki hutang berjumlah AS$172.81 bilion lebih sekali ganda asetnya yang bernilai AS$82.29 bilion. Syarikat ikon industri AS yang tumbang itu akan bergantung kepada bantuan kewangan tambahan sebanyak AS$30 bilion daripada Jabatan Perbendaharaan AS bagi penstrukturan semulanya. Bantuan itu adalah tambahan kepada AS$20 bilion yang disalurkan kerajaan AS kepada syarikat itu dalam bentuk pinjaman mudah dengan kadar faedah yang rendah.


GM juga tidak terlepas dari mimpi ngeri 'gulung tikar'

GM akan menjejak Chrysler LLC yang memfailkan perlindungan muflis April lalu, dan ia berharap bangun semula menerusi langkah yang ditaja kerajaan itu. Mengikut pelan itu, kerajaan persekutuan AS akan mengambilalih 60 peratus pegangan dalam GM baru. Kerajaan Kanada pula akan memegang 12.5 peratus, United Auto Workers (17.5 peratus) dan pemegang bon tidak bercagar (10 peratus). Pemegang saham GM sedia ada pula dijangka akan melupuskan pegangan masing-masing. Selain perlindungan muflis, GM juga dijangka mengumumkan cadangan penutupan 14 kilang, yang bakal menyaksikan sebuah dari-padanya ditukar kepada kilang pengeluaran kenderaan kecil.

Pengumuman muflis GM itu dibuat 32 hari selepas Chrysler, yang turut terjejas susulan jumlah jualan kenderaan dan trak yang menjunam ekoran krisis terburuk sejak Kegawatan Terburuk 1930. Syarikat automotif ketiga terbesar AS, Ford Motor Co, juga berdepan masalah penurunan ketara jualan, namun masih mampu mengelak muflis dengan menggadai semua asetnya pada 2006 untuk meminjam kira-kira AS$25 bilion. Langkah yang menjadi penyokong kepada kewangan Ford itu bagaimanapun tidak dimiliki GM dan Chrysler. GM baru yang dikecilkan saiznya akan terhad kepada pengeluaran jenama Chev-rolet, Cadillac, GMC dan Buick. Sementara itu, jenama lain yang dimilikinya sebelum ini seperti Pontiac, Saturn, Hummer dan Saab akan dijual atau ditutup operasinya. 

GM berkata, ia sedang membuat penelitian akhir bagi memuktamadkan urus niaga jualan Hummer dan cadangan berhubung Saturn dijangka diumumkan dalam beberapa minggu akan datang. – AP

Pandangan Admin: Industri berstatus gah seperti GM juga tidak dapat mengelak dari masalah ekonomi yang melanda dunia. Namun yang lebih menghairankan, syarikat sebesar GM gagal menyediakan perancangan hadapan menghadapi masalah yang tidak dijangka. Adakah kerana terlalu mengejarkan keuntungan semata-mata? Syarikat dari Malaysia harus mengambil iktibar dari peristiwa ini.

Lawatan Sambil Belajar dari SMK Bandar Tenggara, Kulai

Pada 1 Jun 2009 (Isnin) yang lepas, seramai lebih kurang 36 orang pelajar Tingkatan 6 bersama 4 orang guru pengiring dari SMK Bandar Tenggara, Kulai telah mengadakan lawatan ilmiah ke Fakulti Ekonomi & Perniagaan, UKM.

Lawatan yang bermula jam 3.00 petang ini telah disambut oleh barisan Majlis Tertinggi PMFEP dan beberapa orang exco yang telah ditugaskan menyambut dan menguruskan lawatan ini. Program diteruskan dengan taklimat berkenaan kursus-kursus yang ditawarkan di fakulti serta sedikit penerangan berkenaan UKM, FEP dan PMFEP di Dewan Kuliah 3. Taklimat yang disampaikan oleh Presiden PMFEP ini telah mendapat respon positif dari adik-adik SMK Bandar Tenggara ini apabila pelbagai soalan ditanyakan dan menunjukkan bahawa mereka amat teruja untuk memasuki FEP UKM apabila tamat Tingkatan 6 kelak. Majlis diakhiri dengan sesi bertukar-tukar cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan dan sesi bergambar.

   

Kami saff kepimpinan PMFEP mengucapkan ribuan terima kasih di atas lawatan ini dan berharap agar adik-adik dari SMK Bandar Tenggara ini telah mendapat inspirasi dan semangat baru untuk terus menuju kejayaan. Kami juga berharap agar dapat berjumpa kembali dengan para pelajar ini dengan azam yang baru sebagai Mahasiswa/i UKM. ;-)